Wednesday 26 December 2012

Wahai Anakku


Wahai anakku,
Janganlah kamu biarkan sesuatu dosa dan kesalahan tanpa bertaubat kepada Allah. Sebaliknya segeralah engkau memohon keampunanNya setelah engkau lalai dalam mentaati perintahNya atau melanggar laranganNya.

Kekotoran pada pakaian yang segera dibasuh terkadang tidak memerlukan sabun bagi menghilangkannya, namun bila dibiarkan lama ia akan sukar untuk menghapuskannya. Demikianlah wahai anakku, kekotoran dosa akan melekat dihatimu.lebih lama kamu biarkan, maka lebih kuatlah ia melekat dan akhirnya kamu akan sukar untuk membersihkannya.

Wahai anakku,
Sesaorang itu diazab di akhirat kerana dosanya, bukan disebabkan faktor lain. Manakala sesaorang itu akan masuk ke syurga disebabkan rahmat Allah bukanlah kerana pahala amalannya. Maka selagi kamu seronok melakukan maksiat dan dosa, maka engkau telah menempah azab neraka Allah, Nauzubillah. Manakala selagi kamu mentaati perintah Allah, maka kamu akan memperolihi pahala yang mendekatkan kamu kepada rahmat Allah.

Wahai anakku,
Nikmat kurniaan Allah terlalu besar untuk dihitung apa lagi untuk dibalas dengan pahala amalan kita. Apakah sama nikmat dua biji mata dengan pahala ibadah berpuluh tahun ? tentulah tidak akan sama. Lantaran itu, jangan kamu rasa hebat dengan pahala amalanmu, kerana ketaatan kepada Allah adalah kewajipan kita sebagai hambaNya.

Wahai anakku,
Bagaimana kamu ingin bangga dengan amalan kamu, sedang kamu sendiri tidak pasti apakah Allah menerima atau tidak amalanmu. Dan Bagaimana kamu boleh bersenang senang dengan dosamu, kerana kamu tidak pasti bila ajalmu tiba.

Wahai anakku,
Rahmat Allah mengatasi kemurkaanNya. Janganlah kamu berputus asa dari rahmat dan pengampunannya, selagi kamu berusaha memohon keampunan dan bertaubat dari kesalahanmu. Janganlah kamu senang hati, bila kamu melanggar perintah Tuhanmu, kerana Ia boleh menyentak rohmu dari ubun ubunmu.

Ya Allah ampunilah segala dosa kami, dan maafilah kami di atas kecuaian kami. Amin.


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)

peringatan buat diri. 

No comments:

Post a Comment